Showing posts with label hidup berkat. Show all posts
Showing posts with label hidup berkat. Show all posts

Sunday 8 June 2014

Carilah Berkat (Apabila kekayaan tidak mampu mendamaikan jiwa)



Apabila kekayaan tidak mendamaikan.

Punya wang yang boleh membeli apa saja.

Wajah cantik.

Ada keluarga yang bahagia.

Pun masih bersungguh-sungguh menjatuhkan seseorang dengan penipuan demi penipuan. Mengapi-apikan dua jiwa yang dulunya bersaudara. Mencipta fitnah dengan perancangan yang rapi.

Dan berjaya menanam kebencian dihati-hati orang yang dulunya tidak membenci.

Astaghfirullahalazim.

Bukan kita yang menilai berkat atau tidaknya kekayaan seseorang. Tapi kita mampu menilai, jika sudah punya segalanya dan masih juga melakukan pelbagai perkara negatif, sungguh terbukti kekayaan yang kita ada tidak mampu mendamaikan jiwa. Jiwa yang berkecamuk, diamuk api keresahan dan kebencian, jauh dari berkat.

Muhasabah diri. Adakah kita sudah cukup dengan amalan yang wajib ke atas kita? Adakah kita sudah menutup aurat dengan sebenar-benarnya?  Adakah kita sudah cukup dengan ilmu yang asas tentang syariat islam?

Memberi sahaja tanpa melakukan solat 5 wajib, pincanglah segala pemberian dan sedekah kita. Kerana ustaz pernah mendidik kita, amalan pertama yang dinilai ketika kita bertemu denganNya adalah solat 5 waktu. Bagaimana mungkin kita persembahkan amalan-amalan lain andai amalan pertama sahaja kita sudah gagal?

Didik hati kita dengan puasa. Puasa ikhlas tentu sahaja menutup segala pintu maksiat. Sia-sia bukan jika sepanjang hari kita menahan lapar, namun kita akhiri dengan dosa memutuskan persaudaraan? Apa nilai puasa kita jika kita melakukan dosa besar yang tidak ada ampun Allah ke atasnya.

Bersyukurlah teman.. padamkan segala kesombongan kita dengan syukur. Diluar masih ramai yang diuji oleh Allah SWT dengan kemiskinan. Masih ramai yang hidup menumpang, atau terpaksa menyewa rumah yang sempit untuk mendapat perlindungan dari panas mentari, sejuknya kabus malam. Ada beribu manusia lain yang tiap pagi terpaksa bersesak-sesak berbaris menunggu bas atau apa-apa kenderaan awam untuk pergi ke tempat yang dituju. Bersyukurlah, dan hilangkan segala keangkuhan dalam hati.

Semoga kita semua menjadi manusia yang lebih baik menjelang Ramadhan ini..

Semoga kita semua mendapat harta dan hidup yang berkat.

Semoga kita semua kaya dan bakal kaya dengan harta; juga kaya dengan kedamaian dan ketenangan.