Apabila kekayaan tidak mendamaikan.
Punya wang yang boleh membeli apa saja.
Wajah cantik.
Ada keluarga yang bahagia.
Pun masih bersungguh-sungguh menjatuhkan seseorang dengan
penipuan demi penipuan. Mengapi-apikan dua jiwa yang dulunya bersaudara. Mencipta
fitnah dengan perancangan yang rapi.
Dan berjaya menanam kebencian dihati-hati orang yang dulunya
tidak membenci.
Astaghfirullahalazim.
Bukan kita yang menilai berkat atau tidaknya kekayaan
seseorang. Tapi kita mampu menilai, jika sudah punya segalanya dan masih juga
melakukan pelbagai perkara negatif, sungguh terbukti kekayaan yang kita ada
tidak mampu mendamaikan jiwa. Jiwa yang berkecamuk, diamuk api keresahan dan
kebencian, jauh dari berkat.
Muhasabah diri. Adakah kita sudah cukup dengan amalan yang wajib
ke atas kita? Adakah kita sudah menutup aurat dengan sebenar-benarnya? Adakah kita sudah cukup dengan ilmu yang asas
tentang syariat islam?
Memberi sahaja tanpa melakukan solat 5 wajib, pincanglah
segala pemberian dan sedekah kita. Kerana ustaz pernah mendidik kita, amalan
pertama yang dinilai ketika kita bertemu denganNya adalah solat 5 waktu.
Bagaimana mungkin kita persembahkan amalan-amalan lain andai amalan pertama
sahaja kita sudah gagal?
Didik hati kita dengan puasa. Puasa ikhlas tentu sahaja menutup
segala pintu maksiat. Sia-sia bukan jika sepanjang hari kita menahan lapar,
namun kita akhiri dengan dosa memutuskan persaudaraan? Apa nilai puasa kita
jika kita melakukan dosa besar yang tidak ada ampun Allah ke atasnya.
Bersyukurlah teman.. padamkan segala kesombongan kita dengan
syukur. Diluar masih ramai yang diuji oleh Allah SWT dengan kemiskinan. Masih
ramai yang hidup menumpang, atau terpaksa menyewa rumah yang sempit untuk
mendapat perlindungan dari panas mentari, sejuknya kabus malam. Ada beribu
manusia lain yang tiap pagi terpaksa bersesak-sesak berbaris menunggu bas atau
apa-apa kenderaan awam untuk pergi ke tempat yang dituju. Bersyukurlah, dan
hilangkan segala keangkuhan dalam hati.
Semoga kita semua menjadi manusia yang lebih baik menjelang
Ramadhan ini..
Semoga kita semua mendapat harta dan hidup yang berkat.
Semoga kita semua kaya dan bakal kaya dengan harta; juga
kaya dengan kedamaian dan ketenangan.
No comments:
Post a Comment